By Editor • May 15, 2009
Oleh IZHAR SYAFAWI
… Pada tahun 1905, masyarakat Melayu Kelantan menjadi gempar dengan sebab “telah jatuh di dalam negeri sahaya satu pekerjaan yang pelik, tiada pernah jatuh lagi dahulunya, iaitu datang seorang nama Haji Encik ´Id bin Haji Jamaluddin Linggi ke Kelantan mengajarkan ilmu tarekat Ahmadiyah.” …
Demikianlah antara salinan isi warkah daripada Raja / Sultan Kelantan, bertarikh 14 Ramadan 1323 (bersamaan 12 November 1905) yang diutus “kepada orang tua sahaya, Wan Ahmad bin Haji Wan Din al-Fatani”, seorang tokoh ulama besar Alam Melayu yang menetap di kota Mekah.
Haji Encik ‘Id yang dimaksudkan itu ialah Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin bin Haji Idris. Dikenali juga dengan panggilan al-Syeikh Muhammad Said al-Linggi al-Jawi. Datuknya, Haji Idris, anak Hajah Rahimah binti Khatib Musa dikenali sebagai seorang yang alim. Hampir separuh daripada usianya dihabiskan di kota ilmu Mekah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini kerana isteri Khatib Musa yang bernama Zalikha adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau.
Satu sumber lain mengatakan, nasab sebelah datuk bapanya sampai kepada Saidina Abdullah bin Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Dikatakan demikian kerana suami Hajah Rahimah, iaitu Haji Abdul Mu´min Linggi bin Syaikh Muhammad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah adalah berasal dari Hadramaut, Yaman.
Bapanya sendiri, Haji Jamaluddin (1835-1888) adalah seorang tokoh ulama Melayu Negeri Sembilan yang pernah diberi kepercayaan mengajar di Masjidil Haram semasa bermastautin di kota Mekah.
Ibunya, Hajah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani adalah seorang pembaca (qariah) dan penghafaz al-Quran. Pernah menjadi guru al-Quran, sama ada semasa tinggal di Mekah mahupun ketika berada di Patani.
Manakala datuk sebelah ibunya, Haji Muhammad Saleh al-Fatani merupakan guru pondok terulung pada zamannya. Murid-muridnya tidak kurang 500 orang pada satu-satu masa. Haji Muhammad Saleh berkahwin dengan Hajah Mariam. Bapa Hajah Mariam, Syeikh Abdul Rashid al-Fatani juga seorang tokoh ulama yang termasyhur pada zamannya. Ringkasnya, Muhammad Said lahir di tengah-tengah rumpun keluarga alim ulama terkemuka.
Muhammad Said dilahirkan di perkampungan Syi´b Ali Mekah pada hari Sabtu yang ketiga bulan Syaaban tahun 1292 H, bersamaan 25 September 1875. Dipelihara ibu dan neneknya (Hajah Mariam) kerana ketika itu bapanya sedang berkhidmat di Tanah Melayu.
Pada tahun 1882, ketika berusia tujuh tahun, Muhammad Said dibawa pulang ke Patani, tanah tumpah darah ibunya. Beliau dibesarkan di sana sehinggalah umurnya meningkat 12 tahun. Beliau mengaji al-Quran daripada ibunya.
Pada tahun 1887, barulah beliau dihantar mengaji di luar. Empat orang guru awalnya ialah Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal), Haji Awang (Tuan Semela atau Datuk Semela), Datuk Nahu dan Syeikh Muhammad Nuh yang berasal dari Kedah. Beliau mempelajari ilmu-ilmu fiqh, usuluddin, tasawuf, nahu dan pelbagai ilmu lagi. Kecuali Tuan Minal, ketiga-tiga orang guru yang akhir itu adalah bekas murid datuknya, Syeikh Abdul Rashid al-Fatani.
Muhammad Said adalah seorang pelajar yang bercita-cita tinggi, tekun belajar, malah pernah tidak tidur malam hingga terbit fajar kerana tidak menyedari matahari telah naik, bahkan, “… ada ketika-ketika mengalir dari kedua-dua matanya akan darah daripada terlampau banyak menilik kepada kitab-kitab.” (Risalat Kanz al-Mu’id, hlm. 19)
Setahun kemudian (1888), bapanya meninggal dunia ketika berusia 54 tahun dan dikebumikan di tanah perkuburan Linggi, Negeri Sembilan.
Ketika berusia 17 tahun, Muhammad Said belayar ke kota ilmu Mekah bagi mendalami pengajiannya. Antara puluhan gurunya, tersenarailah nama-nama seperti yang berikut:
1. Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki
2. Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani
3. Sayyid Abi Bakr Syata
4. Syeikh Ahmad al-Manshawi
5. Syeikh Umar di-Shami
6. Syeikh Muhammad Said bin Muhammad Babasil (Mufti Shafie)
7. Syeikh Abdul Karim al-Daghastani
8. Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Khayyat
9. Syeikh Umar bin Abi Bakr Bajunid
10. Syeikh Muhammad Said bin Muhammad al-Yamani
11. Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau
12. Syeikh Zainuddin Sumbawa
13. Syeikh Wan Muhammad Ali Kutan
14. Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani.
Muhammad Said merupakan seorang penuntut yang gigih dan bersemangat waja. Pernah bermusafir secara berjalan kaki dari Mekah ke Madinah kerana menziarah makam Rasulullah. Semasa berada di Madinah, beliau sempat berguru dengan Sayyid Jaafar al-Barzanji.
Beliau kemudian meneruskan perjalanan ke Baitulmaqdis dan akhirnya ke Mesir, mendalami kefahaman tentang selok-belok ilmu fiqh empat mazhab. Di situ beliau juga mendalami ilmu-ilmu syarak, naql dan aqal. Antara lainnya berguru dengan Syeikh al-Jami´ al-Azhar, iaitu Syeikh Shamsuddin al-Anbani dan dengan Syeikh Ahmad al-Rifa”i al-Maliki, iaitu ulama besar Mazhab Maliki di al-Azhar ketika itu (1896).Selanjutnya, beliau pulang semula ke Mekah. Beliau belajar ilmu tarekat dengan Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi (meninggal dunia di Madinah pada 19 Februari 1909). Akhir sekali, Muhammad Said menerima ijazah tarekat Ahmadiyah, iaitu pada penghujung tahun 1318 Hijrah (bersamaan pertengahan April 1901).
Antara sahabat-sahabat seperguruan Muhammad Said termasuklah Tuan Mukhtar Bogor, Tuan Hussain Kedah, Pak Wan Sulaiman Kedah, Haji Abdullah Pak Him Seberang Perai, Syeikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak (meninggal 29 Julai 1921), Sidi Muhammad al-Azhari, dan ramai lagi.
Sekitar tahun 1320 H / 1902 M, beliau pulang ke Negeri Sembilan, dan menetap di Ampangan, Seremban. Mengajar ilmu-ilmu agama, juga zikir tarekat Ahmadiyah. Ketika itu beliau telah dilantik menjadi wakil peribadi Syeikh Muhammad al-Dandarawi di Kepulauan Melayu.
Di samping itu, beliau dengan begitu berani mencuba mengikis perbuatan bidaah, pegangan khurafat dan amalan adat yang bertentangan dengan syariat yang banyak diamalkan di dalam masyarakat Melayu. Pada peringkat awal, tindakan Muhammad Said itu ditentang hebat oleh orang-orang Islam sendiri. Bagaimanapun, berkat kesabarannya memimpin tarekat ini, akhirnya beliau berjaya mengumpul ramai pengikut setia.
Selain bergiat di Negeri Sembilan, beliau juga banyak merantau sambil menyebarkan ilmu-ilmu keislaman, khususnya ilmu sufi dan kerohanian. Antaranya ke negeri Kedah, Pahang, Johor, Singapura, Indo-China (Saigon), Siam (Ayuthia), dan Kelantan.
Ketika Haji Encik ´Id (panggilan lazim anak muridnya di Kelantan) tiba di Kota Bharu pada tahun 1905, beliau mendapati Sidi Muhammad al-Azhari, rakan seperguruannya telahpun mengembang ajaran tarekat di sekitar Kota Bharu, termasuk di Pulau Kerbau, Kampung Laut, dan Langgar.
Walaupun seperguruan, pemahaman dan pendekatan mereka berdua banyak berbeza. Haji Encik ´Id menurunkan ilmunya kepada semua lapisan murid, tanpa mengira peringkat umur, baik golongan atasan mahupun bawahan, lelaki dan perempuan, orang kebanyakan mahupun terpelajar. Beliau juga menyebarkan karya terjemahannya, Risalat al-Fawa’id, sebagai teks panduan. Perselisihan mereka berdua jelas ketara apabila banyak kalimat dan pengertian ayat di dalam Risalat al-Faw’id telah dipinda atau dipadam terus kemudiannya oleh Sidi Muhammad al-Azhari.
Berlainan dengan cara penyampaian Sidi Muhammad al-Azhari, kaedah pengajaran Haji Encik ´Id cepat menimbulkan rasa ‘majdhub’ di kalangan pengikut-pengikutnya. Oleh sebab itu, beliau ditentang keras oleh sebahagian besar ulama Kelantan pada zaman itu, kecuali Tok Wali Haji Ismail Lundang Paku, anak-anak Tuan Tabal dan segelintir ulama yang lain. Kemuncaknya, perihal diri dan ajarannya dibawa kepada pengetahuan Sultan yang kemudiannya mengemukakan masalah ini kepada Syeikh Wan Ahmad al-Fatani, sebagaimana yang telah disebut pada awal tulisan ini.
Dan sebagaimana yang diharap-harapkan oleh Raja Kelantan, Syeikh Wan Ahmad memberi jawapan yang panjang lebar, bertarikh 5 Safar 1324 H, bersamaan 30 Mac 1906. (Lihat al-Fatawa al-Fataniyah, hal. 180-212. Penerbitannya diselenggarakan oleh anak saudara Syeikh Wan Ahmad, Haji Nik Daud bin Haji Nik Ahmad, Tanah Merah, Kelantan. Cetakan kali ketiga selesai pada 4 Zulhijjah 1377 / 21 Jun 1958, dicetak di Matba Patba Patani Press, Siam)
Selama berada di Kota Bharu, beliau tinggal di rumah Haji Awang Alim, bapa mentuanya. Haji Awang Alim atau Haji Awang Gemuk ialah nama popular bagi Haji Muhammad Zain Atas Banggol, Kota Bharu. Tokoh ini seangkatan dengan Tuan Tabal, Haji Ismail Kadi Atas Banggol, Haji Abbas Sungai Budor, Tok Konok dan Tok Mesir.
Haji Encik ´Id telah berkahwin dengan Hajah Wan Safiah binti Haji Awang semasa masih berada di Tanah Suci Mekah lagi. Ketika itu Hajah Safiah sudah pun menjadi balu, berikutan kematian suami pertamanya di Mekah, iaitu Haji Yusuf bin Haji Puteh.
Sepanjang hayatnya, Syeikh Muhammad Said dikatakan berkahwin sembilan kali dan dikurniakan 32 orang anak. Salah seorang isterinya ialah Siti Zubaidah binti Haji Said Rembau.
Berikut disenaraikan sebahagian daripada anak-anaknya:
1. Haji Abdullah (1905 -1956), Kampung Gedung Latang, Ampangan, Seremban. Anak sulung yang mengambil alih tugas ketua tarekat Ahmadiyah selepas kematiannya.
2. Haji Ahmad (6 April 1910-7 Januari 1964). Ketua yang kedua selepas Haji Abdullah. Pengasas Pondok Rasah (1935) dan Mufti Negeri Sembilan yang pertama (semenjak 1950); mendalami pengajian ilmu agama di Mekah dan mewarisi sifat kealiman bapanya. Mempunyai empat orang isteri dan 37 orang anak - 8 orang lulusan universiti dalam negara dan 8 orang lagi lepasan Universiti al-Azhar. Menghasiikan puluhan karya penulisan, termasuk Kanz al-Mu’id, yang mengisahkan riwayat hidup Syeikh Muhammad Said.
3. Haji Abdul Rashid, Teluk Kurau, Singapura. Ketua yang ketiga selepas Haji Abdullah dan Haji Ahmad. Sangat dihormati dan disegani masyarakat Melayu Singapura.
4. Haji Mansor, Ampangan, Seremban (meninggal 1981).
5. Haji Muhammad Nor (meninggal 1981).
6. Haji Muhammad Hamid
7. Haji Ibrahim (dengan isterinya, Hajah Wan Safiah, Kota Bharu) - bapa kepada Haji Idris Ibrahim, bekas Ahli Parlimen Setapak, Wilayah Persekutuan.
8. Haji Mahadi (1914 - 20 Februari 1983). Anak kelapan daripada 15 orang adik beradik dan dikatakan paling manja dalam keluarganya. Lulusan Madrasah al-Fatah, Mekah. Seniman terkenal, berlakon dalam 76 buah filem. Lakonan sulungnya adalah secara kebetulan, iaitu sebagai pelakon tambahan dalam filem Penghidupan (1951). Anak Melayu yang pertama menjadi pengarah filem - Permata di Perlimbahan (1952). Semasa mudanya (1939), pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu.
Syeikh Muhammad Said adalah seorang tokoh ulama yang berperibadi sederhana. Tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup. Bersifat zahid, qanaah, pemaaf, sabar, takwa, tawaduk, pemalu, pemurah, warak, dan kuat beramal ibadat.
Beliau merupakan seorang ulama yang amat dihormati dan dikenali di Negeri Sembilan. Beliau juga dikatakan amat dikasihi oleh Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (mangkat 1 Ogos 1933) dan amat disayangi Dato´Kelana Ma’mur (1889-1945).
Walaupun Syeikh Muhammad Said agak prolifik menghasilkan beberapa karya sendiri, juga terjemahan, namun kebanyakanya tidak dicetak dan sukar diperoleh. Antara karyanya yang sudah dapat dikesan adalah seperti yang berikut:
1. Syarh Kunuz a!-Jawahiral al-Nurniyyat fi Qawa’id al-Tariqat al-Shadhilliyah - Disebut juga Risalat al-Fawa’id atau Rasa’il Jawiyyah. Selesai diterjemah pada akhir Rabiulawal 1323 H (3 Jun 1905). Membicarakan keistimewaan Sidi Ahmad bin Idris dan cerita-cerita yang bersangkutan dengan ajarannya, termasuk cara beramal dan pelbagai manfaat lainnya.
2. Al-Ahzab al-´Irfaniyyat wa al-Awrad al-Nuraniyyah - Siap ditulis di Singapura pada 15 Rabiulawal 1323 (18 Jun 1905). Berukuran 18 sentimeter x 14 sentimeter, dan tebalnya 200 halaman. Mengandungi himpunan doa dan zikir.
3. Kashf al-Ghiba an Haqiqat al-Riba
4. Sullam al-Ta’ruf ila ‘Iim al-Tasrif
5. Risalah Path
6. Al-Kashf wa al-Tanfis an Ashab Sidi Ahmad bin Idris
7. Makalah Kaifiat Mengerjakan Tarawih yang 10 Rakaat
8. Perjalanan Mendirikan Jumaat
9. Wazifah-wazifah Bagi Orang yang Salik Pada Permulaan Suluknya
10. Manuskrip syair Arab (tanpa tajuk), sepanjang 142 baris yang ditulisnya di Tanah Melayu. Mengupas tentang kesesatan kaum Wahabi dan kekarutan mereka.
Syeikh Muhammad meninggal dunia pada 12 Rabiulawal 1345 H (waktu malam), bersamaan 18/19 September 1926, ketika berusia 53 tahun (kiraan tahun Hijrah). Lebih 5000 orang mengiringi jenazahnya, termasuk Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ampangan, iaitu sebuah kawasan berbukit di bandar Seremban.
Selain isteri dan anak-anak, beliau juga meninggalkan ibu (ibunya, Hajah Safiah, lahir dalam tahun 1271 H / 1854 M dan meninggal dunia pada pukul 4.00 petang, hari Khamis, 12 Rabiulakhir 1352 H / 3 Ogos 1933, ketika berusia 79 tahun). Beliau juga meninggalkan seorang saudara perempuan kandung, seorang anak saudara dan beribu-ribu murid yang bertebaran di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.
Sebagai mengenangkan jasa baktinya, maka Sekolah Agama Menengah Tinggi Negeri Sembilan (ditubuhkan pada 1959), mulai 1977 diambil alih pentadbirannya oleh Kementerian Pelajaran telah diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Muhammad Said, Seremban.
Dipetik dari http://islamhadhari.net/?p=2933
Selasa, 26 Mei 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
salam ziarah dato'
BalasPadammoga ALLAH mencucuri rahmat atas kerja keras dakwah syeikh muhammad sa'id...
Al fatihah...
Ya Allah...betapa tingginya pengorbanan ulamak terdahulu...dan terasa betapa rendahnya diri saya ini....
BalasPadamAssalamualaikum,
BalasPadamSemoga Allah s.w.t cucuri sebesar rahmat ke atas roh Syeikh Muhammad Said kerana kerana kerja dakwah tanpa henti.
Ikhlas,
Hamdan Ahmad
UiTM/anak Bugis Linggi
Slam,
BalasPadamSaya mendapat tahu dari pada seseorg di Fbook mngatakan Dato ini peminat bola dan suka pemain seperti Messi..betul ke atau fitnah sahaja..
Dan Dato juga membenarkan kita mnyokong pasukan bola sepak di Barat seperti MU dan Liverpool yang terang memuja syaitan dan mempromosikan logo arak di pakain anak muda sekarang..harap2 dato boleh menjawan fitnah ini danmenjelaskan kepada saya kerana bg saya percakapan seperti " aku penyokong red devils" pon sudah psti kalam kita menyebut benda yang xbaik..walau pon tanpa sedar..bknnkah dato?
Sila la dato menjawab persoalan ini agar jelas di kalangn anak muda kita sekarang
(admin pon boleh tolong dato jawabkan)
sekian terima kasih.